Wahai Manusia (Firman Allah)

"Dan jika Allah menghendaki, tentulah Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama Allah yang satu) akan tetapi Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan sesungguhnya kamu akan ditanya kelak tentang apa yang telah kamu kerjakan" (An-Nahl : 93)



Saturday 25 May 2013

Hidayah Itu Ada Dimana-mana


~:: Kembara Dakwah ke perkampungan Orang Asli Ulu Tamu::~


بسم الله الرحمن الرحيم السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Sesunggugnya Allah s.w.t. menggalakkan agar manusia pergi mengembara sepertimana yang difirman olehNya di dalam surah al-Haj;

أَفَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَتَكُونَ لَهُمْ قُلُوبٌ يَعْقِلُونَ بِهَا أَوْ آذَانٌ يَسْمَعُونَ بِهَا فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى الْأَبْصَارُ وَلَكِنْ تَعْمَى الْقُلُوبُ الَّتِي فِي الصُّدُورِ (46)
"Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - dengan melihat kesan-kesan yang tersebut - mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada".


Pasti ada cerita disebalik sebuah perkampungan orang asli, dulunya hanya ada beberapa orang sahaja yang beragama Islam, namun sekarang telah meningkat kepada lebih dari 8 buah keluarga, ada juga yang mengatakan pernah timbul isu seorang dari penduduk kampung ini murtad dan kembali kepada agama asal. Dengan rasa ingin tahu dan rasa bertanggungjawab merungkaikan kisah-kisah disebalik kampung ini. Kembara dakwah kali ini, ingin berkongsi pengalaman menjejak kaki ke perkampungan orang asli Ulu tamu, Batang kali Selangor buat tatapan para pembaca. Jom bersama kami seketika, moga ada manfaat dan sedikit sebanyak dapat juga menambahkan pengetahuan tentang kehidupan saudara Islam kita. Pengembaran dilakukan pada Mac 2013, walaupun hanya selama 3 hari 2 malam namun cukup memberi gambaran kehidupan realiti penduduk Ulu Tamu.


Perjalanan yang turut memakan masa hampir 4 jam dari Kuala Lumpur, menyiadiakan santapan mata di kawasan perkampungan yang agak jauh dari dunia kesibukan seperti warga Ibu Kota pada pukul 10.30pagi. Kicauan burung, geseran dedaun dan pepohon turut berbunyi, serentak dengan kedengaran air sungai mengalir di saat kenderaan krew kembara dakwah berhenti. Amat memukau sebenarnya, walaupun ia merupakan pengalaman biasa bagi mereka yang sudah terbiasa dengan suasana kampung. Apapun, bukan hanya kawasan persekitaran  yang menjadi matlamat kehadiran kami ke sini. Tujuan asal masih terselit dengan harapan yang besar agar dapat bertemu dengan Tok Batin dan rukun tetangga kampung bagi menceritakan serba sedikit tentang penduduk di perkampungan Ulu Tamu.


Perjalanan yang turut memakan masa hampir 4 jam dari Kuala Lumpur, kami mula tiba ke kawasan perkampungan yang agak jauh dari kesibukan dunia masing-masing seperti warga Ibu Kota hampir pukul 10.30pagi. Kicauan burung, geseran dedaun dan pepohon turut mengeluarkan bunyi serentak kedengaran air sungai mengalir saat kenderaan krew kembara dakwah berhenti, sangat memukau pandangan. Mungkin bagi mereka yang selalu dengan suasana kampung, sudah biasa dengan persekitaran ini. Apapun, bukan hanya rakaman keindahan serta ketenangan dikawasan kampung ini yang menjadi matlamat kehadiran kami kesini, tujuan asal masih terselit dengan besar harapan dapat temui tok batin dan rukun tetangga kampung bagi menceritakan serba sedikit tentang penduduk di perkampungan ini.







Jiwa pendakwah yang terselit dalam hati kami, mula membuahkan hasil apabila dapat bertemu dengan Puan Hayati, beliaun merupakan seorang ustazah yang aktif berdakwah disana, rasa ingin mengetahui keadaan saudara Islam disini turut dikongsi oleh pendakwah hebat ini. Banyak perkara yang diluahkan, terutama sekali masalah berkenaan pegangan aqidah orang asli disini, ada dikalangan mereka masuk Islam kerana kesedaran dan menerima hidayah setelah melihat ketenangan kehidupan jiran serta sanak saudara yang telah masuk Islam, ada juga yang masuk Islam hanya kerana inginkan bantuan rumah serta wang zakat dari majlis agama. Suasana ibadat di sana, amat kurang perhatian dari golongan yang hebat ilmu agama, kadang-kadang mereka hanya akan solat apabila Ustaz Zali datang untuk melaungkan azan di surau, Ustaz Zali yang juga salah seorang pendakwah di sana hanya datang pada hari tertentu kerana urusan kerja di luar kawasan perkampungan. Melihat kepada penceritaan itu, dapat kami gambarkan usaha mereka berdakwah dalam pelbagai cabaran yang perlu mereka tangani iaitu berdepan dengan karenah dan gelagat manusia sewaktu mengajar tentang syariat Islam. Selesai menemu ramah beliau, kami terus diajak melawat beberapa buah rumah saudara Islam perkampungan itu, bermula aktiviti beramah mesra dengan penduduk kampung, kemudiaan melakukan rakaman temu bual kepada beberapa orang diantara mereka. 






Pada sebelah petang pula, selepas mengerjakan solat, makan dan rehat seketika. Kami meredah hujan renyai-renyai yang seakan menyambut kehadiran kami untuk sampai ke kawasan sumber utama pencarian rezeki penduduk kampung, kehidupan warga Ulu Tamu banyak bergantung pada hasil menoreh, menangkap ikan, hasil hutan dan lain-lain. sewaktu kehadiran kami, kami tidak berkesempatan melihat aktiviti tersebut kerana tiada siapa yang pergi menoreh pada ketika itu, yang menangkap ikan hanya ada kanak-kanak yang cuba untuk mengangkat jala ke darat, selebihnya hanya ada beberapa kumpulan anak-anak warga orang asli yang bermain-main dan berenang dengan aksi tersendiri. Kru kami tidak melepaskan peluang dengan merakamkan beberapa aksi menarik serta gambar kawasan persekitaran.




Hari-hari seterusnya kami lebih banyak bersama ahli rukun tetangga dan tok batin untuk bersama-sama dalam aktiviti harian penduduk kampung, banyak perkara baru yang diperkenalkan kepada kami, bermula dari segi percakapan bahasa mereka, adat resam, pakaian tradisi, kepercayaan turun temurun, serta budaya mereka yang ada lagi diamalkan. Masih juga diteruskan lagi aktiviti temu ramah sepanjang kami berada disana, pelbagai maklumat cuba kami dapatkan untuk merungkai kisah-kisah yang pernah kami dapat dari sumber terdahulu, iaitu dari pihak NGO kesatuan dakwah JAMIAH yang turut aktif melakukan program dan pernah memikul tanggungjawab mengislamkan beberapa individu perkampungan ini. Kisah yang turut berjaya dirungkaikan adalah tentang seorang penduduk yang murtad akibat mengidap penyakit dan mendapat bantuan dari pendakyan Kristian, sehinggakan dia kembali semula kepada agama Kristian. Daripada apa yang diceritakan oleh Tok Batin, pihak pendakyah dari Kristian juga turut banyak melakukan aktiviti mereka saban minggu, ini menambahkan lagi cabaran kepada kekurangan pendakwah yang sangat kita rasai sekarang.



Pada hari terakhir, kami sempat lagi menziarah beberapa buah keluarga tidak kira sama ada mereka yang beragama Islam ataupun tidak, sesi temubual dilakukan, informasi yang sama kami cuba dapatkan, antaranya berkenaan sejarah dan perkembangan hidup mereka seawal usia diperkampungan ini.







Ketua kampung yang dikenali sebagai Tok Batin juga tidak ketinggalan untuk menceritakan aktiviti-aktiviti penduduk kampung pada masa terdekat dan menjemput kami turut bersama majlis tersebut, antaranya adalah majlis perasmian pecah tanah untuk dibina surau baru di perkampungan dan beberapa buah rumah dibawah bantuan zakat negeri selangor. Kedatangan kami memang disambut baik, dan kepulangan kami juga dihantar dengan senyuman warga perkampungan.





Sedikit pesanan dari wakil pendakwah perkampungan iaitu Ustazah Hayati, beliau amat berharap agar para pembaca menyebarkan perkongsian kehidupan masyarakat orang asli kepada umat Islam diluar sana, khususnya kepada para pendakwah yang diharapkan dapat meluangkan masa bersama melakukan aktiviti serta program bersama dengan warga perkampungan asli Ulu tamu khususnya. Diharapkan juga agar kita sama-sama merasakan ada sikap bertanggungjawab dalam memberi perhatian kepada saudara Islam disana, tidak kira bantuan dari sudut mana dan bagaimana, kerana mereka sangat memerlukan sokongan dan juga tenaga yang lebih bagi memartabatkan Islam sebagai majoriti kepada penduduk pada suatu hari nanti.

Sekian sahaja perkongsian buat kali ini, semoga para pembaca mendapat manfaat.

=== sekian ===
Krew Kembara Dakwah

Wednesday 22 May 2013

Kunjungan dalam Pemahaman

Assalammualaikum....


Kali ini krew kembara dakwah telah mengembara ke sebuah negeri yang penuh bersejarah iaitu Melaka. Di sini kami telah melawat 3 tempat ibadat bagi agama Hindu, Buddha dan Kristian.





Destinasi pertama kami adalah Kuil Cheng Hoong Teng. Kuil ini adalah kuil yang tertua di semenanjung Malaysia. Kuil Cheng Hoon Teng telah ditubuhkan pada tahun 1600-an oleh seorang kapitan yang bernama Tay Kie Ki. Kuil ini dibina di atas tanah seluas 4.600 hektar di Jalan Tokong. Kini kuil ini menjadi pusat relijiusitas etnik Tionghoa, khususnya Hokian. Kuil Cheng Hoong Teng ini juga memiliki dekorasi yang unik, menarik dan jelas berunsurkan masyarakat Cina, dimana setiap aspek yang terdapat di kuilini menggambarkan unsur-unsur Tao yang boleh dilihat gambarannya di gerbang pintu, jendela dan sebagainya.
  

Destinasi kedua pula adalah Kuil Sri Muthu Mariamman, di kampung Chetti. Kuil ini merupakan tempat ibadat bagi agama Hindu. Ketika di sana kami sempat melihat perayaan mereka yang sedang memuja  dewa Mariamman. Semasa perayaan tersebut, ramai penganut Hindu dari seluruh negara yang berdekatan dengan Malaysia turut datang ke kuil tersebut kerana perayaan tersebut dilakukan setahun sekali dalam tempoh seminggu. Dalam masa seminggu itu, mereka tidak dibenarkan makan makanan yang berdarah, seperti ayam, daging dan ikan.


Destinasi kami yang terakhir adalah tempat ibadat bagi agama Kristian iaitu Gereja St. Peter. Gereja ini merupkan gareja katolik yang tertua di Malaysia. Ia terbina pada tahun 1710 yang terletak di Jalan Tun Sri Lanang. Kami melawat gereja tersebut pada hari Ahad, iaitu hari ibadat mereka. Ibadat mereka berlangsung selama 1 jam setengah dengan membaca kitab suci mereka iaitu Holy Spirit yang diketua oleh ketua paderi.


=== sekian ===
Krew Kembara Dakwah

Monday 20 May 2013

Diam & Khusyklah

 Assalamu’alaikum dan salam satu Aqidah kepada semua,



Khususnya para da'ie seperjuangan moga dirahmati Allah. Semoga setiap saat masa yang digunakan untuk membaca halaman perkongsian ilmu ini dapat memberi kesan kerohanian dan mendapat ganjaran kebaikan di sisi Allah. Lapangkanlah sedikit masa daripada 24 jam yang Allah pinjamkan seharian kepada kita untuk membaca al-Qur'an, ataupun sekurang-kurangnya kita mencari peluang untuk mendengar bacaan al-Qur'an, tenangkanlah hati kita dengan mendengar bacaan al-Qur'an.

Semoga dengan sedikit usaha yang kita lakukan itu boleh membawa kepada keredhaan Allah seterusnya muncul ketenangan di dalam jiwa dan menimbuhkan rasa kebahgiaan, kedamaian serta keyakinan yang teguh kepada kebesaran Allah s.w.t .

Baginda Rasulullah s.a.w sendiri sangat senang mendengar al-Qur'an dibacakan oleh orang lain, kerana hati Baginda mudah tersentuh lebih-lebih lagi dengan mendengar bacaan para sahabat yang sesuai dengan kaedah tajwid beserta suara yang merdu. Baginda selalu meminta para sahabat untuk memperdengarkan bacaan al-Qur'an untuknya.

Begitu juga apabila al-Qur'an diturunkan, Baginda merasa bahagia dan tenang hatinya. Kepelbagaian masalah hidup, kegelisahan dengan pengaruh persekitaran tidak sihat berkemungkinan boleh menggoyahkan keimanan kita. Dalam keadaan seperti itu insyaAllah ketenangan hanya kita perolehi di dalam Kitab Allah serta zikir kepada-NYA.


Maksudnya: "(Iaitu) orang-orang Yang beriman dan tenang tenteram hati mereka Dengan zikrullah". ketahuilah Dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia. (Surah Ar-Ra’d :28) Suatu kisah ingin saya kongsikan, yang mana pada suatu hari Baginda Rasulullah s.a.w meminta Abdullah bin Mas’ud untuk membaca ayat dari surah an-Nisa’. 

Sebaik sahaja ayat-ayat itu dibacakan, Baginda Rasulullah s.a.w sudah mula menangis hingga air mata Baginda membasahi pipinya. “cukup, cukup buat masa ini” pinta Baginda kepada sahabatnya Abdullah bin Mas’ud supaya menghentikan bacaannya. Dalam diri Baginda sememangnya terdapat teladan yang baik, contohilah amalan Baginda.

Semoga kita tidak tergolong di dalam kalangan mereka yang rugi dengan menjadikan siang dan malamnya tanpa membaca atau mendengar Kalam Allah wlaupun sedikit, In Syaa Allah walaupun hanya mendengar sahaja, moga ia tetap dinilai di sisi Allah SWT. Sekian sahaja perkongsian buat kali ini, moga kita mendapat sedikit manfaat bersama dari secebis nukilan di atas. Perlu kita ingat juga pelajar cemerlang, adalah juga mereka yang cemerlang pada akhlak dan tingkah lakunya dan seimbang dalam kehidupannya. Kecemerlangan pelajar bukan semata-mata dilihat pada nilai akademiknya sahaja.

Semoga bermanfaat, wallahua’lam wassalam.

=== sekian ===
Krew Kembara Dakwah

Saturday 18 May 2013

Penyakit

Assalammualaikum..

Perkongsian untuk kita sebagai daie..terkadang dalam memperjuangkan sebuah kebenaran dan menyebarkan kecintaanNya..ada penyakit dalam diri yang tanpa kita sedar..

Ayuh para daie..

Muhasabah hati dan diri..bagaimana perjuangan dakwah kita selama ini?

Antara penyakit yang sering menimpa aktivis dakwah ialah 'isti'jal' (استعجال).
Menurut bahasa maknanya ialah : menuntut sesuatu dikerjakan atau diselesaikan dengan cepat atau segera. Manakala mengikut istilah dakwah ialah : mengubah keadaan atau realiti kehidupan kaum muslimin dalam waktu sekejap atau sekelip mata tanpa mempedulikan situasi, keadaan, akibat serta tanpa persiapan yang matang dari segi 'uslub' dan 'wasilah'nya. Akhirnya tiada apa yang terkesan kepada khalayak .
Antara puncanya :
1) Dorongan Nafsu yang sudah menjadi tabiat dalam diri manusia.
2) Semangat berkobar-kobar yang tidak terkawal.
3) Desakan waktu/masa yang dirasakan berlalu terlalu pantas dan singkat.
4) Perancangan daripada musuh-musuh Islam seperti Israel dll.
5) Kurang arif tentang taktik musuh Islam.
6) Tidak tahu cara mengubah kemungkaran yang makin berleluasa.
7) Tidak sabar/mampu menanggung beban dan penderitaan.
8) Terlalu yakin dengan sedikit persiapan dan kelebihan tanpa memikirkan akibatnya terutamanya dalam menghadapi penyelewengan para pemimpin.
9) Tiada program yang ampuh untuk mengendalikan potensi yang ada seperti kurang komited dengan amalan harian dsb.
10) Bekerja/amal dakwah dengan tidak merujuk kepada mereka yang lebih arif dan berpengalaman.
11) Lupa kepada 'sunnatullah' di alam semesta terutamanya berkaitan 'nafs' dan 'syariat'.
12) Melupakan matlamat asal dakwah iaitu mencapai 'mardhotillah' (keredhaan Allah).
13) Lupa 'sunnatullah' kepada orang yang zalim iaitu Allah tidak terburu-buru menghukum dan menyeksa mereka.
14) Bersahabat dengan orang yang biasanya 'isti'jal' (terburu-buru) dan bertindak sesuka hatinya.
*Petikan dari buku 'Penyakit Umat Islam : Kaedah dan Cara Pengubatannya' terjemahan Dr. Sayid Muhammad Nuh..



=== sekian ===
Saiful Ahmad

Thursday 16 May 2013

Salam Perkenalan :)

~::Assalamu`alaikum, Bismillah walhamdulillah::~

Terlebih dahulu saya ingin mengajak sahabat-sahabat, khususnya para da`ie di luar sana, untuk sentiasa bersyukur tidak terhingga pada Ilahi, yang telah menambah usia kepada kita dari hari ke hari dengan terus selesa bernafas serta sihat wal`afiat. Terima kasih juga di atas peluang dan ruang yang diberi kepada saya untuk mencoret sedikit perkongsian.

Dengan tajuk perjuangan diteruskan, kehidupan dihayati. Ada beberapa perkara yang ingin saya sampaikan samaada secara tersurat dan tersirat. Sahabat-sahabat, antara sedar atau tidak sudah lebih 1400 tahun Nabi Muhammad meninggalkan kita. Sesuai juga andai saya katakan, antara sedar atau tidak kita kini makin jauh meninggalkan sunnah dan perjuangan Baginda. Nikmat atau ujian yang diutuskan kepada kita, boleh membuktikan adakah kita tergolong dalam mereka yang tetap meneruskan perjuangan Rasulullah s.a.w atau sebaliknya. Berapa ramai saudara islam kita di luar sana yang kini hanyut dalam sandiwara dunia, bergelumang dosa dan taksub dengan ajakan nafsu. Mereka memerlukan bimbingan, dan kita tidak perlu bermimpi di siang hari untuk mengharapkan diutusnya seorang Nabi bagi menyedarkan mereka, kerana telah jelas dalil Nabi Muhammad adalah khataman nabiyyin iaitu penutup kepada Nabi-Nabi. Justeru itu sedarlah sahabat-sahabat bangkitlah dari lena yang panjang, bangun dan berdirilah bersama-sama mereka yang sentiasa mencari peluang berusaha meneruskan perjuangan Rasulullah.

Tidak saya nafikan mengajak manusia untuk mengenali Allah tidak sama dengan mengajak manusia untuk percaya pada Allah. Hari ini kalau di tanya pada saudara Islam kita yang bergelumang dengan maksiat sekalipun, apakah mereka tahu dan percaya adanya Allah, tentu mereka akan menjawab kami tahu dan percaya. Tetapi apa yang mereka lakukan seolah-olah Allah sudah tidak ada dalam kehidupan mereka. Mereka tidak merasakan peranan Allah di dalam kehidupan atau dengan kata lain tidak patuh kepada suruhan serta larangan Allah. Pada perasaan mereka sama sahaja samaada Allah itu ada ataupun tiada. Sedangkan Allah itu Maha Berkuasa, Menghidupkan, Mematikan, Menghukum, Mendengar, Melihat, yang memberikan nikmat, yang menurunkan rahmat, yang mewujudkan apa saja di dunia ini mahupun di akhirat kelak, tidak ada satu perkara hatta sebutir debu sekalipun yang wujud tanpa pengetahuan Allah.

Kita perlu sentiasa berusaha mengajak mereka yang dalam kegelapan untuk sedar dan kembali ke jalan yang benar, antara penyelesaian yang perlu di ambil serius adalah pendedahan tentang ilmu aqidah dengan lebih meluas. Sejarah perjuangan Rasulullah yang mungkin kita terlepas pandang, Baginda mengambil masa selama 13 tahun untuk menanamkan iman dan tauhid, dengan kata lain Allah yang Esa itu diperkenalkan terlebih dahulu kepada umat Arab Jahiliah. Banyak program atau aktiviti yang telah kita lakukan, selalunya kita mulakan dengan pendedahan mengenai syariat terlebih dahulu, sedangkan dengan cara ini, mereka yang baru atau ingin kembali menerima Islam, dapat saya tafsirkan, bukan lagi terima atau kembali secara sukarela tetapi lebih kepada terpaksa, ini kerana mereka telah terikat dengan peraturan halal, haram dll. Contoh solat, kita perlu menanam dalam jiwa anak-anak tentang kepada siapa dan kenapa kita solat, kemudian barulah kita mengajar tentang bagaimana cara, mengenai sah serta batal solat dan sebagainya, wallahua`lam.
Walaubagaimanapun dalam apa jua keadaan kita perlu sabar dan tidak berputus asa dengan halangan-halangan yang sedikit berbanding apa yang di lalui oleh Rasulullah. Baginda memulakan perjuangan dakwah di kala ramai manusia tidak tahu dan tidak percaya tentang kewujudan Allah, Baginda mengenalkan bahawa Allah adalah Tuhan manusia. Sebelum itu orang tidak kenal akhirat, tidak mengetahui tentang malaikat, syurga, neraka, dll, maka Rasulullah s.a.w datang untuk mengenalkannya kepada manusia, dan Rasulullah telah berjaya menanamkan aqidah serta penghayatan kehidupan yang begitu mantap di hati para sahabat sehingga bangsa arab jahiliah berubah dan dipilih oleh Allah untuk tugasan mengembangkan serta membina empayar Islam pada kali pertama.
Kita juga perlu yakin dalam menjadikan al-Quran dan Sunnah Rasulullah sebagai pegangan, sebagaimana sabda Baginda:
(تركت فيكم أمرين ما إن تمسكتم بهما لن تضلوا أبدا كتاب الله وسنة رسوله)
Maksudnya: “Ku tinggalkan untuk kamu dua perkara (pusaka), tidaklah kamu akan tersesat selama-lamanya, selagi kamu masih berpegang kepada keduanya, iaitu Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya.
Akhir kalam, moga ada sedikit kesedaran pada saya dalam menulis artikel ini dan juga kepada sahabat-sahabat yang sudi meluangkan masa membaca. Kita perlu yakin dengan janji-Nya tentang kebangkitan umat islam buat kali kedua, namun usaha yang perlu dilakukan saya percaya tiada jalan lain bagi umat Islam, selain bermula daripada mempertingkatkan lagi usaha dalam mendedahkan serta menanamkan penghayatan aqidah kepada umat sejagat, bukan sekadar hafalan ilmu, tetapi penghayatan aqidah yang benar-benar meresap kedalam hati, hingga lahirnya cinta dan taqwa pada Allah secara luar biasa. Itulah yang dapat menjadi pemangkin utama kepada umat Islam dalam membangunkan ummah untuk kali kedua. Segala yang baik adalah ilham dari Allah s.w.t , segala kelemahan dari diri yang dhaif ini. Selamat beramal.
~::Kalaulah Rasulullah Masih Bersama-sama Kita::~
=== sekian ===
Saiful Ahmad