Wahai Manusia (Firman Allah)

"Dan jika Allah menghendaki, tentulah Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama Allah yang satu) akan tetapi Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan sesungguhnya kamu akan ditanya kelak tentang apa yang telah kamu kerjakan" (An-Nahl : 93)



Thursday 16 May 2013

Salam Perkenalan :)

~::Assalamu`alaikum, Bismillah walhamdulillah::~

Terlebih dahulu saya ingin mengajak sahabat-sahabat, khususnya para da`ie di luar sana, untuk sentiasa bersyukur tidak terhingga pada Ilahi, yang telah menambah usia kepada kita dari hari ke hari dengan terus selesa bernafas serta sihat wal`afiat. Terima kasih juga di atas peluang dan ruang yang diberi kepada saya untuk mencoret sedikit perkongsian.

Dengan tajuk perjuangan diteruskan, kehidupan dihayati. Ada beberapa perkara yang ingin saya sampaikan samaada secara tersurat dan tersirat. Sahabat-sahabat, antara sedar atau tidak sudah lebih 1400 tahun Nabi Muhammad meninggalkan kita. Sesuai juga andai saya katakan, antara sedar atau tidak kita kini makin jauh meninggalkan sunnah dan perjuangan Baginda. Nikmat atau ujian yang diutuskan kepada kita, boleh membuktikan adakah kita tergolong dalam mereka yang tetap meneruskan perjuangan Rasulullah s.a.w atau sebaliknya. Berapa ramai saudara islam kita di luar sana yang kini hanyut dalam sandiwara dunia, bergelumang dosa dan taksub dengan ajakan nafsu. Mereka memerlukan bimbingan, dan kita tidak perlu bermimpi di siang hari untuk mengharapkan diutusnya seorang Nabi bagi menyedarkan mereka, kerana telah jelas dalil Nabi Muhammad adalah khataman nabiyyin iaitu penutup kepada Nabi-Nabi. Justeru itu sedarlah sahabat-sahabat bangkitlah dari lena yang panjang, bangun dan berdirilah bersama-sama mereka yang sentiasa mencari peluang berusaha meneruskan perjuangan Rasulullah.

Tidak saya nafikan mengajak manusia untuk mengenali Allah tidak sama dengan mengajak manusia untuk percaya pada Allah. Hari ini kalau di tanya pada saudara Islam kita yang bergelumang dengan maksiat sekalipun, apakah mereka tahu dan percaya adanya Allah, tentu mereka akan menjawab kami tahu dan percaya. Tetapi apa yang mereka lakukan seolah-olah Allah sudah tidak ada dalam kehidupan mereka. Mereka tidak merasakan peranan Allah di dalam kehidupan atau dengan kata lain tidak patuh kepada suruhan serta larangan Allah. Pada perasaan mereka sama sahaja samaada Allah itu ada ataupun tiada. Sedangkan Allah itu Maha Berkuasa, Menghidupkan, Mematikan, Menghukum, Mendengar, Melihat, yang memberikan nikmat, yang menurunkan rahmat, yang mewujudkan apa saja di dunia ini mahupun di akhirat kelak, tidak ada satu perkara hatta sebutir debu sekalipun yang wujud tanpa pengetahuan Allah.

Kita perlu sentiasa berusaha mengajak mereka yang dalam kegelapan untuk sedar dan kembali ke jalan yang benar, antara penyelesaian yang perlu di ambil serius adalah pendedahan tentang ilmu aqidah dengan lebih meluas. Sejarah perjuangan Rasulullah yang mungkin kita terlepas pandang, Baginda mengambil masa selama 13 tahun untuk menanamkan iman dan tauhid, dengan kata lain Allah yang Esa itu diperkenalkan terlebih dahulu kepada umat Arab Jahiliah. Banyak program atau aktiviti yang telah kita lakukan, selalunya kita mulakan dengan pendedahan mengenai syariat terlebih dahulu, sedangkan dengan cara ini, mereka yang baru atau ingin kembali menerima Islam, dapat saya tafsirkan, bukan lagi terima atau kembali secara sukarela tetapi lebih kepada terpaksa, ini kerana mereka telah terikat dengan peraturan halal, haram dll. Contoh solat, kita perlu menanam dalam jiwa anak-anak tentang kepada siapa dan kenapa kita solat, kemudian barulah kita mengajar tentang bagaimana cara, mengenai sah serta batal solat dan sebagainya, wallahua`lam.
Walaubagaimanapun dalam apa jua keadaan kita perlu sabar dan tidak berputus asa dengan halangan-halangan yang sedikit berbanding apa yang di lalui oleh Rasulullah. Baginda memulakan perjuangan dakwah di kala ramai manusia tidak tahu dan tidak percaya tentang kewujudan Allah, Baginda mengenalkan bahawa Allah adalah Tuhan manusia. Sebelum itu orang tidak kenal akhirat, tidak mengetahui tentang malaikat, syurga, neraka, dll, maka Rasulullah s.a.w datang untuk mengenalkannya kepada manusia, dan Rasulullah telah berjaya menanamkan aqidah serta penghayatan kehidupan yang begitu mantap di hati para sahabat sehingga bangsa arab jahiliah berubah dan dipilih oleh Allah untuk tugasan mengembangkan serta membina empayar Islam pada kali pertama.
Kita juga perlu yakin dalam menjadikan al-Quran dan Sunnah Rasulullah sebagai pegangan, sebagaimana sabda Baginda:
(تركت فيكم أمرين ما إن تمسكتم بهما لن تضلوا أبدا كتاب الله وسنة رسوله)
Maksudnya: “Ku tinggalkan untuk kamu dua perkara (pusaka), tidaklah kamu akan tersesat selama-lamanya, selagi kamu masih berpegang kepada keduanya, iaitu Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya.
Akhir kalam, moga ada sedikit kesedaran pada saya dalam menulis artikel ini dan juga kepada sahabat-sahabat yang sudi meluangkan masa membaca. Kita perlu yakin dengan janji-Nya tentang kebangkitan umat islam buat kali kedua, namun usaha yang perlu dilakukan saya percaya tiada jalan lain bagi umat Islam, selain bermula daripada mempertingkatkan lagi usaha dalam mendedahkan serta menanamkan penghayatan aqidah kepada umat sejagat, bukan sekadar hafalan ilmu, tetapi penghayatan aqidah yang benar-benar meresap kedalam hati, hingga lahirnya cinta dan taqwa pada Allah secara luar biasa. Itulah yang dapat menjadi pemangkin utama kepada umat Islam dalam membangunkan ummah untuk kali kedua. Segala yang baik adalah ilham dari Allah s.w.t , segala kelemahan dari diri yang dhaif ini. Selamat beramal.
~::Kalaulah Rasulullah Masih Bersama-sama Kita::~
=== sekian ===
Saiful Ahmad

2 comments: