Wahai Manusia (Firman Allah)

"Dan jika Allah menghendaki, tentulah Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama Allah yang satu) akan tetapi Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan sesungguhnya kamu akan ditanya kelak tentang apa yang telah kamu kerjakan" (An-Nahl : 93)



Monday 20 May 2013

Diam & Khusyklah

 Assalamu’alaikum dan salam satu Aqidah kepada semua,



Khususnya para da'ie seperjuangan moga dirahmati Allah. Semoga setiap saat masa yang digunakan untuk membaca halaman perkongsian ilmu ini dapat memberi kesan kerohanian dan mendapat ganjaran kebaikan di sisi Allah. Lapangkanlah sedikit masa daripada 24 jam yang Allah pinjamkan seharian kepada kita untuk membaca al-Qur'an, ataupun sekurang-kurangnya kita mencari peluang untuk mendengar bacaan al-Qur'an, tenangkanlah hati kita dengan mendengar bacaan al-Qur'an.

Semoga dengan sedikit usaha yang kita lakukan itu boleh membawa kepada keredhaan Allah seterusnya muncul ketenangan di dalam jiwa dan menimbuhkan rasa kebahgiaan, kedamaian serta keyakinan yang teguh kepada kebesaran Allah s.w.t .

Baginda Rasulullah s.a.w sendiri sangat senang mendengar al-Qur'an dibacakan oleh orang lain, kerana hati Baginda mudah tersentuh lebih-lebih lagi dengan mendengar bacaan para sahabat yang sesuai dengan kaedah tajwid beserta suara yang merdu. Baginda selalu meminta para sahabat untuk memperdengarkan bacaan al-Qur'an untuknya.

Begitu juga apabila al-Qur'an diturunkan, Baginda merasa bahagia dan tenang hatinya. Kepelbagaian masalah hidup, kegelisahan dengan pengaruh persekitaran tidak sihat berkemungkinan boleh menggoyahkan keimanan kita. Dalam keadaan seperti itu insyaAllah ketenangan hanya kita perolehi di dalam Kitab Allah serta zikir kepada-NYA.


Maksudnya: "(Iaitu) orang-orang Yang beriman dan tenang tenteram hati mereka Dengan zikrullah". ketahuilah Dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia. (Surah Ar-Ra’d :28) Suatu kisah ingin saya kongsikan, yang mana pada suatu hari Baginda Rasulullah s.a.w meminta Abdullah bin Mas’ud untuk membaca ayat dari surah an-Nisa’. 

Sebaik sahaja ayat-ayat itu dibacakan, Baginda Rasulullah s.a.w sudah mula menangis hingga air mata Baginda membasahi pipinya. “cukup, cukup buat masa ini” pinta Baginda kepada sahabatnya Abdullah bin Mas’ud supaya menghentikan bacaannya. Dalam diri Baginda sememangnya terdapat teladan yang baik, contohilah amalan Baginda.

Semoga kita tidak tergolong di dalam kalangan mereka yang rugi dengan menjadikan siang dan malamnya tanpa membaca atau mendengar Kalam Allah wlaupun sedikit, In Syaa Allah walaupun hanya mendengar sahaja, moga ia tetap dinilai di sisi Allah SWT. Sekian sahaja perkongsian buat kali ini, moga kita mendapat sedikit manfaat bersama dari secebis nukilan di atas. Perlu kita ingat juga pelajar cemerlang, adalah juga mereka yang cemerlang pada akhlak dan tingkah lakunya dan seimbang dalam kehidupannya. Kecemerlangan pelajar bukan semata-mata dilihat pada nilai akademiknya sahaja.

Semoga bermanfaat, wallahua’lam wassalam.

=== sekian ===
Krew Kembara Dakwah

No comments:

Post a Comment